31.3.06

9 - Datok tidak makan sama

Sekurang-kurangnya tiga minggu sekali pasti saya singgah ke Naan Inn. Iaitu setiap kali sebelum solat Jumaat. Lokasi restoran Pakistan itu memang strategik. Cuma beberapa langkah dari pintu depan masjid Kobe.

Menu utama pada hari Jumaat ialah nasi beriyani. Hidangan buffet kari kambing dan ayam. Menu sampingan ialah roti nan dan kuih berbentuk segitiga ala karipap yang saya tidak tahu namanya. Secawan ocha diberi percuma atas permintaan. Ada rasa macam teh halia.

Majoriti orang yang ke masjid Kobe pasti singgah ke situ. Lalu saya percaya setiap hari Jumaat pemilik restoran itu mendapat untung besar.

Biasanya ada seorang tukang masak. Boleh jadi pemilik restoran tersebut. Penjaga kaunter bayarannya rakyat Indonesia. Saya memanggilnya dengan nama Kak Anti.

Saya tidak tahu sama ada tukang masak Pakistan itu adalah suami kepada Kak Anti kerana saya tidak pernah bertanyakan hal tersebut kepada mereka. Boleh jadi tidak. Selalunya orang luar hanya diberikan lesen untuk berniaga di negara ini jika ada ikatan kekeluargaan atau perkahwinan dengan orang Jepun. Biarkanlah persoalan itu.

Kelmarin Naan Inn ditutup kepada umum. Kawan saya pula ambil cuti. Dia berkunjung ke Kobe. Menunggu di depan restoran. Bukan untuk makan, tapi untuk melihat.

Kelmarin bukan hari Jumaat. Tapi taukenya untung besar.

Artis nombor satu Malaysia makan di situ. Semua meja ditempah khas.

Acara tertutup.

28.3.06

8 - Suatu hari yang damai

Saya mengagumi impiannya. Dia pernah melahirkan hasrat untuk meneroka angkasa raya dan menjelajah ke seluruh pelusuk benua. Dia bercita-cita untuk menjadi seorang yang petah berbahasa inggeris. Macam Namie Amuro, katanya.

Aida Miyuki sebenarnya boleh berbahasa inggeris. Malah keupayaannya lebih baik berbanding kebanyakan kakitangan yang lebih senior di sini. Sayangnya, dia begitu pemalu. Lebih-lebih lagi untuk mempraktiskan bahasa tersebut di tempat kerja atau ketika berada di kelompok rakan-rakan sebangsanya.

Dan hari itu Miyuki meminta saya berkata sesuatu menggunakan bahasa inggeris. Dia berpakaian kasual. T-shirt hitam dan jeans biru muda.

“Your hair is pretty,” spontan saya bersuara seraya memandang rambut perangnya yang menjurai. Saya berkira-kira rambut itu mungkin dicemburui kakitangan wanita yang lain.

“Ha ha.. sore wa kantan da yo..” Miyuki berkata sambil tertawa kecil. Wajahnya sedikit kemerah-merahan. Comel.

Saya mengalihkan pandangan ke luar sambil mengetuk-ngetuk kelingking di hujung meja. Mencari ayat yang lebih sesuai.

“You are the eighth wonder of the world.”

“aa..?” Miyuki.

23.3.06

7 - Tempias

Memanglah saya tidak pernah menggunakan kamus elektronik ini ketika keluar membeli-belah atau mendengar nyanyian Ayumi. Apapun, saya tetap berpendirian tangki kata ini memang bagus. Sudah kerap benar ia menjadi penyelamat ketika saya berada di dalam situasi kematian pembendaharaan kata.

Kata Eto, saya seorang hartawan kerana mampu memiliki tangki kata ini. Secara spontan, saya jadi keliru. Harga asalnya tidak sampai 20 ribu yen. Selepas menyuakan passport dan memohon potongan istimewa, tauke kedai elektronik di Nipponbashi itu hanya mengenakan bayaran 17 ribu yen. Eto pula, saban minggu berbelanja tidak kurang dari 20 ribu yen membeli minuman beralkohol untuk bertukar menjadi seorang pemabuk.

Eto memang tidak kedekut. Apabila saya ditukarkan ke kumpulan baru, dia yang terlebih dahulu membelanja saya makan malam di sebuah restoran masakan Itali. Saya tidak makan banyak. Cuma sepinggan spaghetti makanan laut dan segelas minuman oren. Eto pula cukup berselera. Ada masakan daripada daging khinzir yang disalai juga. Sudah tiga gelas minuman arak yang dihabiskannya.

Kata Eto, 'Asahi beer ini bagus. Lazat dan memabukkan. Lupa segala masalah di tempat kerja.'

Saya anggukkan saja.

“Kenapa kamu tidak cuba? Tidak apa-apa. Di sini bukan Malaysia.” Eto belum mabuk. Tapi ucap katanya sering diselangi dengan ketawa besar. Kalau mabuk sekalipun, mungkin saya tinggalkan saja dia di situ.

“Ha ha ha…!”

Eto ketawa lagi. Banyak perkataan baru yang dipelajari. Saya nampak ada kesan percikan liur di skrin tangki kata milik saya. Eto bercerita lagi. Sambil mulutnya mengunyah-ngunyah pizza dan masakan daging khinzir yang disalai.

18.3.06

6 - Hilang

Ayub jadi tak keruan. Isterinya sudah hampir sepuluh minit termenung panjang. Percutian bulan madu yang sepatutnya menggembirakan tidak semena-mena terganggu di malam itu.

“Beg aku hilang,” suara Ayub yang panik jelas kedengaran di corong telefon bimbit. Saya baru saja nak melelapkan mata. Terus bangkit dan melihat jam di atas peti televisyen. Pukul satu suku pagi.

“Beg kau hilang? Bagasi polo yang besar itu ke?”

“Bukan. Beg sandang yang warna hitam tu. Petang tadi, aku tertinggal di stesen JR Kobe. Atas palang tepi. Kat tempat duduk berhampiran toilet. Tempat orang ramai lalu lalang. Sekarang ni baru perasan..”

“Oh, itu bukan hilang. Kau cuma terlupa.”

Saya tidak pasti sama ada Ayub dan isterinya dapat tidur lena di malam tersebut. Mungkin tidak.

Esok. Awal-awal pagi lagi Ayub dan isterinya sudah berada di stesen JR Kobe. Beg sandang bewarna hitam itu. Masih di situ. Atas palang tepi. Di tempat duduk berhampiran tandas. Di laluan orang ramai keluar dan masuk. Isi di dalamnya seperti sedia ada. Tidak ada yang hilang. Termasuk juga kamera digital yang baru dibeli tiga hari lalu khusus untuk merakam kenangan percutian selama seminggu itu. Ayub lega. Isterinya tersenyum.

Pagi ini sedikit gempar. Matsumoto, penolong pengurus di tempat kerja saya kehilangan laptop di Kuala Lumpur. Di hotel besar. Lima bintang. Berhampiran dengan kompleks Times Square. Ada mata-mata sinis yang menjeling. Ada juga wajah-wajah keliru yang inginkan kepastian. Saya hanya tersenyum. Kadang-kadang memaparkan wajah simpati. Prihatin terhadap kejadian yang menimpa.

Saya ingin memiliki sepucuk pistol yang boleh saya tembakkan pelurunya ke udara seraya berkata: "Jaga-jaga.. kemalangan akan berlaku. Tempat itu tidak seteruk seperti imaginasi anda."

Benarkah begitu. Ada masanya saya sendiri tidak pasti tentang jawapannya.

14.3.06

5 - Simfoni 14/3

Hujung minggu lalu saya singgah di sebuah outlet di kota Tarumi. Ada banyak kempen jualan penghabisan stok. Banner-banner terpampang memaparkan potongan harga sehingga mencecah tujuh puluh peratus. Lazimnya, pada waktu begini para peniaga pakaian mula menurunkan harga untuk menghabiskan stok baju-baju tebal sebelum ketibaan musim bunga.

Sama hebat juga ialah promosi tentang hari putih. Di sana sini terpampang tarikh 14 Mac dan perkataan ‘white day’. Ianya seolah-olah satu peringatan kepada lelaki supaya tidak lupa membalas pemberian para gadis yang pernah menghadiahkan mereka coklat pelbagai rasa pada tanggal empat belas di bulan yang lalu.

Peraturan tidak bertulis menyebut bahawa si lelaki perlu membalas pemberian si gadis dengan barangan yang lebih mahal berbanding harga coklat yang dihadiahkan oleh si gadis. Ada orang berkata, sekiranya seorang lelaki di negara ini berstatus playboy, yang kebiasaannya menerima pemberian dari begitu ramai gadis pada tanggal valentine, maka dalam tempoh sebulan selepas itu dia akan kesempitan wang kerana terpaksa membalas pemberian kepada setiap gadis tersebut dengan harga yang lebih mahal.

Tetapi majoritinya, lelaki tidak sebodoh itu. Dan selalunya juga, seseorang yang mampu memegang gelaran playboy bukannya jujur.

Tadi, saya menerima pesanan ringkas menerusi telefon bimbit. Dari seorang kawan yang saya kenal sewaktu bertugas di Oita dulu.

Yumiko, “My boyfriend left me yesterday!”

10.3.06

4 - Merah (merah)

Pukul 4.30 pagi.

Saya dah terjaga. Memang sengaja saya setkan alarm supaya ianya berlagu lebih awal. Bukan satu. Tiga. Saya ada temujanji awal pagi.

Pagi yang dingin.

Lokasi temujanji tidak jauh. Lebih hampir dari dekat. Amat dekat. Di dalam rumah juga. Di ruang tamu yang kecil. Di depan kaca tv. Bersama saya segelas Nescafe panas tiga dalam satu. Saya tidak letak di depan, nanti menghalang tumpuan ke arah kaca tv. Saya tidak letak di sisi. Risau kalau tersepak ketika dalam konsentrasi.

Saya menonton perlawanan bola. Setiap kali menonton pasukan merah-merah beraksi, saya jadi segar. Sejak bertukar pengurusan musim lalu, aksi pasukan merah-merah cukup menghiburkan. Pasukan merah-merah menjadi kuat. Di hujung musim, merah-merah jadi juara Eropah. Saya tidak lagi marah-marah ketika menonton pasukan merah-merah. Dulu-dulu, waktu saya masih belajar di sekolah, saya mudah marah melihat aksi pasukan merah-merah. Maksud saya, aksi yang buruk.

Tapi hari ini pasukan merah-merah macam sudah lupa. Pasukan merah-merah masih menghiburkan. Masih lincah. Cuma mereka lupa. Lupa untuk menjaringkan gol. Sudahnya, pasukan merah-merah tidak menang. Merah-merah bukan lagi juara.

Saya tidak marah. Tapi bohonglah kalau saya katakan saya tidak kecewa. Saya sendiri sudah menjadi seperti anggota merah-merah. Kami ada ikatan kimia. Cukup kuat. Saya langsung terlupakan Nescafe panas tiga dalam satu di atas meja. Sembilan puluh minit ia terbiar begitu saja di situ. Nescafe panas dah pun menjadi Nescafe ais.

Lapan pagi saya sudah sampai di tempat kerja. Di atas meja ada banyak dokumen bertanda merah-merah. Wah, banyak pembetulan yang perlu dilakukan. Saya tidak marah.

Hitoshi tiba beberapa minit kemudian. Dia terkaget seketika melihatkan saya sudah berada di situ. Saya pula terpegun melihat rambutnya dengan warna yang baru.

Merah-merah.

5.3.06

3 - Konsisten

Destinasi kali ini tidak jauh.
Cukup sekadar singgah di Rokko san.

Aksi seorang gadis jepun yang begitu cekap dan lincah menuruni bukit salji itu begitu mempesonakan. Yang paling menarik ialah juraian rambut di sebalik ‘snow cap’nya yang meliuk-liuk mematuhi hukum inersia. Saya yang terleka sedikit terkejut apabila seorang kanak-kanak meluncur laju dengan papan skinya beberapa sentimeter dari sisi.

Sakit di pinggul masih terasa. Itulah padahnya jika hilang konsentrasi ketika beriadah. Kanak-kanak itu terus meluncur dengan gah. Saya yang terpaksa mengelak terus hilang kawalan lalu tergelincir di atas ais yang licin.

Ini kali pertama berski. Kalau menggunakan papan luncur, mungkin masih boleh mengelak dari tersungkur. Mungkin. Kalau tidak kerana juraian rambut itu, mungkin tidak perlu mendapat sakit ini. Mungkin juga. Kata teman, gaya jatuhan saya paling buruk.

Selama ini saya hanya tahu menggunakan papan luncur. Niat saya memang ingin meggunakan papan luncur lagi. Malangnya, di situ, waktu siang hanya untuk aktiviti ski manakala papan luncur hanya dibenarkan selepas lewat petang. Saya pula, sudah cukup letih. Dan cukup lapar juga.

Saya pulang dengan pinggul yang terdera.

Sebabnya, mungkin saya sukakan gadis berambut panjang.
Tetapi kadang-kadang, saya juga sukakan Nakashima Mika yang berambut pendek itu.

Memanglah, saya tidak konsisten.

Nota:
Mungkin istilah bahasa melayu saya silap. Yang saya maksudkan
ski ialah ski.
papan luncur ialah snowboard.

2.3.06

2 - Tukang gunting

Saya menerima kunjungan seorang rakan dari Malaysia yang kebetulan datang ke Osaka atas urusan kompeni. Bukan selalu apartmen kecil saya didatangi tamu yang boleh berbahasa melayu, jadi masa sebegini agak istimewa.

Ayim menegur rambut saya yang semakin panjang, dia nampak agak terkejut. Saya tidak pelik, kerana dia tidak pernah melihat saya berambut panjang selama ini.

Saya tidak mahu memberi alasan bayaran khidmat gunting rambut di sini mahal kerana itu bukan penyebabnya. Saya cuma ingin membuat perubahan. Saya memang tidak konsisten, terutama di dalam soal berfesyen.

Saya pernah ditanya Tetsuro yang kehairanan kerana saya tidak memendekkan rambut sepanjang berada di sini. Dia ingin tahu adakah agama saya melarang memotong rambut di kedai gunting yang tukang guntingnya bukan Islam.

Oh, tentu sekali tidak, Tetsuro. Rambut saya bukanlah leher ayam.

1.3.06

1 - Ada weblog

Saya dah mula menulis.
Ini masukan yang pertama di sini.

Eh, jemputlah masuk.