31.10.06

45 - Satu syawal yang lalu

Saya pulang awal. Lebih awal dari kebiasaannya. Ketika suria penghujung Ramadan masih meniti di ufuk barat. Saya mahu menikmati malam yang bakal tiba. Malam yang istimewa.

Malam satu syawal.

Di luar tiada nyalaan pelita minyak tanah. Tiada bunyi dentuman mercun dan meriam buluh. Saya leka sendiri duduk di hadapan laptop sambil memuat turun koleksi lagu raya pilihan. Bukan sedikit. Ada enam belas kesemuanya. Ada lagu nyanyian M.Nasir, ada lagu nyanyian Sanisah Huri dan ada juga lagu nyanyian Aishah yang menjadi kegemaran Nina.

"Ini lagu nyanyian Aishah," ujar Nina.

"Ya, saya tahu. Tajuknya Dari Jauh Kupohon Maaf," balas saya.

"Eh, bukanlah. Lagu ini.., berjudul Pulanglah," terang Nina seperti nada percakapan seorang guru yang membetulkan kesilapan anak muridnya.

Saya berpaling sambil mengerenyitkan mata.

"Kenapa?" Soal Nina, bersahaja.

"Mana ada tajuk lagu Pulanglah."

"Pulanglah."

"Dari Jauh kupohon maaf."

"Pulanglah.."

"Dari jauh.."

"Pulang.."

"Dari ja..."

Nina senyum, sambil menggetap bibir.

"Awak memang selalu begini ya..," Nina.

"Kenapa?"

"Tak pernah berubah."

Dan senyuman manis Nina pun berlalu bersama angin malam. Saya memandu keseorangan ke hujung kota. Tidak banyak kenderaan di jalan raya. Sekumpulan remaja sekolah duduk berkumpul di ruang lapang di hadapan Family Mart. Dua daripada mereka memetik gitar sambil menyanyi manakala yang lainnya duduk menonton sambil bertepuk tangan.

Saya berhentikan kereta dan membuat beberapa panggilan telefon jarak jauh. Ia sudah menjadi rutin setiap kali tiba malam satu syawal, menghubungi saudara mara dan kenalan di tanahair, mengucapkan salam aidilfitri dan bertanya khabar.

Dingin subuh satu syawal menyapa damai. Tenang dan aman. Tidak seperti di tahun yang sudah apabila saya terpaksa mencari-cari butang baju melayu di pagi raya. Kali ini semuanya sudah tersedia. Butang yang sama telah siap tersemat pada baju melayu biru tua di hadapan almari pakaian.

Ia pemberian dari Nina tidak lama dulu. Saya masih ingat bagaimana teruk saya dimarahinya apabila saya terlupa untuk mengenakan butang baju melayu itu pada salah satu hari raya yang lalu.

Ia istimewa. Dan masih lagi, walaupun selepas perbualan menerusi telefon malam raya tadi.

"Hello, Assalamualaikum."

Saya pantas mengecam suara itu. Murni, adik kepada Nina.

"Waalaikum salam," balas saya. "Boleh cakap dengan kak Nina?"

"Kak Nina?"

"Ha ah."

"Kak Nina tak ada."

"Eh, tak ada? Tak balik beraya ke?"

"Dia beraya kat rumah mak mentua dia. Esok baru balik sini."

"Oh? Sejak bila ada mak mentua?"

"Hari tu. Masa cuti sekolah. Ini siapa ya?"

"Hmmm.. kawan kak Nina."

"Ohh.. Murni tau siapa ni.."

"Yalah tu. OK. Selamat Hari Raya. Kirim salam kat semua ya."

Saya rindukan sekurang-kurangnya dua perkara pada syawal tahun ini.

Pertama, takbir raya berirama dari Malaysia.

Kedua, iklan hari raya di kaca televisyen. Bukankah selalunya ia sungguh menarik?

Selamat hari raya dan maaf zahir batin.

11.10.06

44 - Persepsi

Ada kesan minyak pada bungkusan yang saya terima pagi ini. Kata petugas Fedex yang menghantarnya, mungkin kandungan di dalamnya pecah. Saya menggaru-garu kepala ketika petugas itu melutut di muka pintu dan menunduk-nunduk kepalanya berkali-kali minta maaf.

“Tak mengapa, ini bukan salah kamu. Mungkin bekas di dalam bungkusan itu tidak cukup kuat,” kata saya.

“Maafkan saya, maafkan saya,” dia masih melutut dengan kepala yang tertunduk-tunduk. Lama juga begitu.

Tidak ada kerosakan besar. Hanya ada rekahan kecil pada bekas plastik yang berisi sambal tumis ikan bilis. Bekas plastik itu memang tidak cukup kuat. Boleh jadi ia retak ketika dikeluarkan dari kabin pesawat penghantaran.

Kad ucapan hari raya yang pertama saya terima, ada kesan minyak dari sambal tumis ikan bilis di permukaannya.

Adik bongsu saya menulis:

Hari ini, waktu berbuka tak perlulah makan sushi atau nasi putih dengan telur goreng saja. Ini ada lauk sambal ikan bilis. Kuih tat dan almond london pun ada. Jemputlah makan.

Belum asar. Saya pandang jam. Entah mengapa saya rasa jarum saatnya berputar lebih perlahan dari biasa.