29.5.06

23 - Alamat

Dulu pernah gempar apabila para pelajar jurusan senibina dari tanahair yang menuntut di negara Jepun menghantar petisyen kepada Perdana Menteri. Temanya satu – mengapa kami dihantar belajar di Jepun jika kelulusan ijazah kami masih tidak terus diiktiraf oleh kerajaan di tanahair?

“Lalu apa jawapan pihak kerajaan?” tanya saya.

“Entahlah. Tak pasti. Yang pasti, masa tu memang kecoh juga,” jelas Yan.

“Oooh. Hmm..macam mana petisyen tu dibuat?”

“Secara serentak, tapi setiap daripada mereka menghantar tulisan yang dialamatkan terus kepada PM secara individu.”

“Alamatnya, abdullah-at-yahoo-dot-com, begitu?”

Dus!

23.5.06

22 - Di bawah hujan rintik-rintik


Tadi saya fikir gadis itu mabuk. Bukan mabuk laut. Maksud saya, mabuk terlebih teguk minuman beralkohol.

Hujan rintik-rintik. Jalan raya sudah basah. Kereta dan teksi bersesak-sesak.

Dia yang berambut berombak. Duduk menjulur kaki di pangkir jalan sambil berbual-bual dengan seseorang menerusi telefon bimbitnya. Di bawah hujan yang rintik-rintik.

Lampu isyarat hijau. Saya mengayuh pantas mountain bike melintasi simpang tiga berhampiran meshiya.

Dan tiba-tiba brek mengejut.

“Whoaa!” Bukan kagum, tapi terkejut.

Hujan turun lagi. Tanpa henti berterusan tiga hari. Esok cuaca akan mula cerah kembali. Siang bertambah panjang. Dan malam kian memendek.

Esok tiba. Dengan mentari siang yang hangat. Sehelai jaket hitam itu masih menjadi milik saya. Dan saya imbas kembali peristiwa semalam.

Hujan rintik-rintik. Jalan raya sudah basah. Kereta dan teksi bersesak-sesak.

“Whoaa!”

Dia yang berambut berombak. Tergelincir di dalam hujan. Basikalnya jatuh menimpa kaki. Tangannya memegang lutut. Berjuang untuk bangkit semula. Di bawah hujan yang rintik-rintik.

18.5.06

21 - Kamikaze tanpa akal

Di negara Jepun perkataan Yakuza tidak disebut dengan sewenang-wenangnya. Istilah itu sendiri sudah menjadi seperti sesuatu yang taboo di kalangan orang kebanyakan. Isyarat popular yang digunakan ialah menegakkan jari kelingking ke atas sambil dirapatkan ke pipi. Itu membawa maksud Yakuza. Orang melayu di Jepun menggelarkan golongan tersebut dengan istilah pak ya.

Sewaktu menetap di Kouda Ryou beberapa tahun dulu, saya pernah menonton siaran berita memaparkan kejadian kemalangan jalan raya yang melibatkan golongan pak ya. Paparan grafik memperihalkan sebuah kereta mewah milik anggota pak ya menyusur laju masuk ke lebuhraya secara mengejut. Sebuah kereta kecil yang berada di lorong paling kiri tidak sempat mengelak lalu merempuh belakang kereta anggota pak ya tersebut.

‘Bam!’

Pemandu kereta kecil itu memberhentikan keretanya di laluan kecemasan. Dia dan rakannya keluar untuk melihat kesan perlanggaran tersebut.

Kereta anggota pak ya tidak berhenti, sebaliknya terus bergerak ke hadapan dengan perlahan sebelum secara tiba-tiba melakukan pusingan-u lalu merempuh kedua-dua wanita yang berada di laluan kecemasan itu. Kereta mewah itu terus meluncur pantas menyongsang laluan sehala lebuhraya itu sebelum remuk bertembung dengan sebuah lori pengangkut barang yang bergerak dari arah bertentangan.

Sungguh kamikaze, kata hati saya seraya mematikan suis lampu bilik.

Malam itu saya tidak bermimpi menjelma sebagai kesatria baja hitam. Tetapi jika diberi pilihan saya sudi muncul sebagai watak hero tersebut di tempat kejadian bagi menghalang insiden perlanggaran itu.

15.5.06

20 - Kereta Pak Ya

Sebuah BMW 8 series bercermin gelap tiba-tiba sahaja mengangkat lampu tinggi sebelum memotong S15 yang sedang dipandu Zen. Saya pantas melihat ke arah nombor pendaftaran kereta tersebut. Angka binary. Sifar-sifar-satu-satu.

Dude, slow down,” kata saya kepada Zen sambil menegakkan jari kelingking ke pipi.

“Ah, sou desuka,” balas Zen, sedikit terkejut.

Zen mengurangkan kelajuan keretanya. Di hadapan, BMW hitam itu terus meluncur laju menyusuri laluan 176 sebelum hilang ditelan kepekatan malam.

10.5.06

19 - Congak bola

Tetsuro sudah memiliki jersi biru pasukan Jepun. Hadiah hari jadi dari teman wanitanya yang bekerja di butik Adidas. Di belakang jersi itu tercatat nama Inamoto, bintang tengah kelahiran Osaka yang beraksi di liga perdana Inggeris.

"Wah! Demam Piala Dunia dah melanda," ujar saya.

"Ha ha. Ya, nanti bulan depan kita sama-sama sokong pasukan Jepun ya," balas Tetsuro. "Lagipun negara kamu tidak layak beraksi di Piala Dunia, kan?"

"Hmm, betul juga. Tapi tidak mengapa, saya akan sokong pasukan kawan atuk saya dulu. England."

"Oh, England? Siapa kapten pasukan England ya?" tanya Tetsuro.

"Beckham."

"Hah?! Ha ha ha.. awak bercakap bohong. Saya tahulah. Beckham bermain untuk Real Madrid."

Saya menyambung semula. Buat kira-kira.

Penggempur setan merah tercedera campur penyerang belang hitam putih belum cergas, tinggal awang panjang merah-merah. Tolak Jermain, tolak Darren.

Tambah Theo.

7.5.06

18 - Terminal

"MH52? Hmm.. kaunter penerbangan ke Osaka dah ditutup," kata petugas kaunter pendaftaran masuk itu.

"Eh? Bukankah pendaftaran masuk masih terbuka 45 minit sebelum pesawat berlepas?"

Petugas itu memandang. "Ya, tunggu sekejap." Dia mencapai gagang telefon di hadapannya.

"Hello, Kak Su. Shira cakap ni. Passanger kunci hilang sekarang check-in."

Saya berdiri di hadapan kaunter sambil mengikuti bicara telefon petugas bernama Shira itu. Daripada percakapannya, saya kira tempat duduk saya untuk penerbangan ke Kansai sudah diberikan kepada penumpang lain yang ada di dalam senarai menunggu beberapa minit yang lalu.

"OK. Ada berapa bagasi?"

"Satu saja," jawab saya sambil meletakkan bagasi saiz sederhana untuk ditimbang.

"Encik terus ke boarding gate C35 ya." Petugas Shira yang baik hati itu berkata seraya menghulurkan kembali pasport dan tiket penerbangan bersama-sama pas masuk ke pintu C35.

"Baik. Terima kasih."


II

"Encik kunci hilang?" Petugas di pintu masuk itu menyapa.

“Ya,” sahut saya sambil tertanya-tanya sendiri bagaimana dia boleh mengetahui nama saya sedangkan saya belum lagi menghulurkan pasport, tiket penerbangan dan pas masuk kepadanya.

Petugas berlesung pipit di pipi itu tersenyum sambil menanda sesuatu di kertas senarai nama penumpang di hadapannya. "Tiket encik dah dinaikkan taraf kepada business class."


III

Di sisi saya duduk seorang pengarah syarikat bangsa cina sambil membaca akhbar Sin Chew Jit Poh. Saya leka menjamu mata dengan pemandangan bercahaya di sekitar landasan lapangan terbang melalui tingkap pesawat.

Seorang petugas kabin datang menawarkan minuman. Saya menjeling ke arah tag namanya. Linda.

"What would you like to have sir?"

"Give me a glass of red wine," jawab pengarah syarikat berbangsa cina itu sambil melipat semula akhbar yang dibacanya.

"How about you, mister? Would you like to have a red wine or white wine or.."

"Oh, thank you. Bagi saya oren saja," jawab saya sebelum sempat Linda menghabiskan soalannya.

Kami tersengih. Saya dan Linda.


IV

Pertama kali saya menikmati satay bersama kuah kacang di dalam pesawat terbang. Pengarah syarikat berbangsa cina di sebelah sudah lama lena. Skrin tv di hadapannya terus terpasang menemani tidurnya.

Cahaya samar diselubungi gelap awan di luar. Saya mengeluarkan buku yang baru dibeli beberapa hari lalu. Di kulit hadapannya ada gambar dua kanak-kanak sedang berdiri memandang saya sambil memberi tabik hormat. Saya perasan sendiri, macam bos. Macam lelaki cina di sebelah. Ha ha.

.

Eh, tidak. Saya tak mahu wine.