26.6.06

30 - Hidup ini indah

Abang Mat tertoleh-toleh ke belakang. Matanya ligat mencari-cari sesuatu.

“Kenapa, abang Mat?” tanya saya.

“Ha? Tak ada apalah.”

“Jom, masuk office. Dah lewat ni,” kata saya.

Saya bergerak ke pintu. Abang Mat bingkas menurut dari belakang.

“Eh, tak tutup lampu? Suis lampu tu mana kau sorok?” tanya abang Mat.

“Takpe. Nanti blackout lagi,” kata saya.

Diam.

Di muka pintu saya berhenti dan berpaling.

“Lihat di atas,” kata saya sambil menuding ke arah satu objek kecil di siling.

“Oh…, err..,”

“Itu movement sensor.

“Oooh..,” abang Mat mengangguk. Mungkin sudah faham.

Di masa yang lain abang Mat bertanyakan tentang lokasi tandas yang ada bekalan air mutlak. Saya beritahu lokasinya dan mencadangkan abang Mat melakukan aksi tendangan tanpa bayang jikalau lampu tandas padam. Ada movement sensor juga di situ, kata saya.

Dan abang Mat menjawab, "Chesss! Purampokpuraku sungguh kamu ni."


II

Di Stuttgart, sepakan percuma David melencong cantik mengenai tiang gol sebelah dalam sebelum menerjah jaring. Para penyokong berjersi England dan tidak berbaju bersorak gembira. Brooklyn tersenyum girang. Victoria tiba-tiba sahaja anggun. Dan kawannya yang menawan di sisi, seolah-olah mengundang saya untuk bersama-sama minum teh inggeris pada lewat pagi ini.


Nota:

1. Movement sensor berfungsi untuk mengesan pergerakan manusia atau objek di sesuatu tempat. Salah satu aplikasinya ialah mengesan kehadiran manusia di sesuatu lokasi (contoh: bilik) lalu menghantar isyarat untuk lampu menyala secara automatik. Apabila tiada pergerakan dikesan dalam tempoh tertentu (tiada kehadiran manusia atau duduk diam, pegun lama-lama), maka lampu akan terpadam juga secara automatik.

2. Saya tidak pasti apa itu maksud perkataan ‘purampokpuraku’. Boleh jadi saya silap mendengarnya. Barangkali juga ejaan saya silap. Mungkin ia adalah perkataan dari Jawa. Agak-agak saja.

21.6.06

29 - Silap mata

Kadang-kadang saya suka. Sebab dia terlalu gemar bercakap. Saya boleh mendapat input baru dengan memasang telinga mendengar ceritanya yang pelbagai ragam.

Kadang-kadang saya tidak suka. Sebab dia terlalu gemar bercakap. Paling tidak enak apabila terpaksa berpura-pura melayan karenah ceritanya, baik realiti mahupun dongengan.

“Kau tahu, dulu abang Mat pernah bertunang dengan satu perempuan ni. Cantik amat,” cerita abang Mat.

“Whoaa..,” saya.

“Tak lama, dia jumpa seorang cikgu yang ada rupa. Lebih berharta dari abang Mat.”

“Hmm..”

“Abang Mat masih di Seremban, dia call. Minta putus. Tak apalah takde jodoh.”

Angguk.

“Tak lama bila Abang Mat pulang ke Kuala Kubu. Selang dua hari dapat berita. Perempuan tu kena tangkap basah. Sama-sama cikgu itulah…...”

Lampu padam.

“Aik? Kat Jepun pun ada blackout?” Abang Mat tercengang.

“Shhh..! Diam, diam, abang Mat,” kata saya seraya memberi isyarat supaya dia tidak bergerak.

Kami di bilik tetamu. Abang Mat pegun. Sebatang rokok masih terlekat di bibirnya. Dia dah bertukar dari Dunhill kepada Pall Mall. Harga rokok asyik naik saja, terpaksalah tukar selera, katanya.

“Kenapa? Takkan dalam bilik ni aje yang blackout?” Tanya abang Mat kehairanan.

“Shhh..! Lihat ini,” kata saya sambil membengkokkan sebelah kaki secara perlahan-lahan.

“Apa?”

Lantas saya menggerakkan kaki ke hadapan seperti gaya menendang angin. “Silap mata,” kata saya kepada abang Mat.

Dan sejurus itu lampu kembali menyala.

“Whoaaa!!” Abang Mat tiba-tiba pandai berkata ‘whoaaa’. Mata berkelip-kelip.

19.6.06

28 - Kisah mereka

Kisah Michael dan corak hantaran

Michael yakin sentuhan golnya masih tajam seperti selalu. Katanya, jika pasukan England bermain dengan corak menyerang secara hantaran rendah, dia akan mula menggegarkan gawang lawan.

Dua perlawanan awal Michael langsung tidak menyerlah. Nyata dia tidak cergas. Jurulatih Sven menekankan corak hantaran jauh ke arah Peter yang berketinggian enam kaki tujuh inci. Menurut Sven, alang-alang mempunyai pemain yang tinggi lampai di barisan hadapan, gunakan kelebihan itu sepenuhnya.

Menentang Sweden esok, Wayne bakal diturunkan dari awal, bergandingan dengan Michael. Itu gandingan pilihan utama untuk pasukan three lions. Peter duduk di bangku simpanan.


Kisah Frankie dan Stevie

Dua orang di antara pemain tengah terbaik di dunia ada dalam pasukan England. Kedua-duanya beraksi di dalam Liga Perdana Inggeris. Frankie untuk biru-biru dan Stevie untuk merah-merah. Frankie atau Stevie, siapa yang lebih hebat?

Frankie suka menyerang. Stevie suka menyerang. Frankie cekap mencari posisi di dalam kotak penalti dan memiliki rembatan padu. Stevie berkemahiran menggempur dengan larian pantas dan memiliki rembatan padu.

Stevie agresif dan berkebolehan bertahan. Frankie tidak.

Maka tugas menyerang lebih diberikan kepada Frankie sementara Stevie banyak menanti di bahagian tengah. Aksi gempur Stevie yang sering ditakuti oleh pertahanan lawan di peringkat kelab bersama merah-merah sama sekali tidak dapat dilihat di kejohanan Piala Dunia setakat ini.

Stevie harus akur dengan kehendak pasukan. Frankie dibiarkan di atas. Mencari posisi dan memburu gol.

Menentang Paraguay, Frankie melakukan tiga percubaan tepat ke arah gol. Semuanya ditepis keluar oleh penjaga gol.

Menentang Trinidad & Tobago, lebih banyak peluang untuk Frankie. Posisinya cemerlang. Namun golnya masih tiada. Ada yang ditepis. Dan tidak kurang yang jauh tersasar.

Kaki kanan David masih menjadi aset yang amat penting. Berpunca dari tendangan bebasnya Paraguay terperangkap seawal minit kedua. Hantaran jauhnya juga akhirnya dapat disambar baik oleh Peter untuk gol pertama menentang Trinidad & Tobago.

Frankie akhirnya turun ke bawah setelah England mendahului. Giliran Stevie naik ke atas.

Masa kecederaan. Wayne membuat hantaran kepada Stevie. Stevie mengacah sebelum melorongkan bola kepada Aaron. Aaron kepada David. Kembali kepada Stevie. Seorang pemain pertahanan datang rapat. Stevie beralih ke kaki kiri.

Stevie gemar menggunakan kaki kanannya untuk merembat bola ke arah gawang. Padu dan jitu. Namun kali ini dengan kaki kiri. Bola melencong cantik.

Gol kedua untuk England.

Menentang Sweden esok, Stevie akan direhatkan. Frankie akan lebih selesa menyerang, mungkin.


Kisah ulang tayang

Sehingga detik ini, sudah beberapa kali saya dijamu dengan ulang tayang aksi tangkas hero Jepun ketika ini, Yoshikatsu Kawaguchi menyelamatkan sepakan penalti Darijo Srna.

Rata-rata para pemain Jepun kecewa dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Croatia yang menjadikan laluan ke pusingan kedua untuk mereka amat sempit sekali.

Namun ada juga segelintir penyokong Jepun yang tersenyum girang apabila mendengar wisel penamat ditiup oleh pengadil. Lega dan bangga dengan keupayaan Jepun menyerap asakan Croatia.

Mungkin mereka tidak tahu lawan mereka selepas ini adalah juara bertahan yang juga merupakan kuasa nombor satu bolasepak dunia ketika ini.


Kisah pengulas siaran langsung

Memang saya tidak menggemari cara penyampaian gandingan pengulas Jepun dalam siaran langsung Piala Dunia ini. Cukup membosankan.

Apabila Lionel Messi menerima bola, mereka mula diserang histeria, "Meshi! Meshi! Meshi!"

Sedangkan ketika itu Messi baru saja berada hampir dengan garisan tengah padang.

Dan apabila hantaran tinggi pasukan England masuk ke kotak penalti pasukan lawan, "Crouchey! Crouchey!"

Walhal ketika itu Peter Crouch berada jauh hampir sepuluh meter daripada bola.

Apabila Messi menjaringkan gol, salah seorang dari mereka berkata, "Waaaa..! Hebat sungguh Messi."

Dan disambut rakan pengulas yang satu lagi, "Yalah kan. Begitu menakjubkan."

Ya, saya tentunya amat merindui ESPN versi Malaysia, Singapura dan Hong Kong.


Kisah jiran sebelah

Saya kira gadis penghuni di unit bersebelahan sedang pulang bercuti di rumah ibunya. Saban malam saya menonton bola hingga ke dinihari. Bila Joe turut hadir, suasana bingit pasti ada sekali sekala.

Saya melalui musim Piala Dunia yang aman setakat ini. Tidak ada sebarang bunyi dentuman dari penghuni unit sebelah.

13.6.06

27 - Semalam di Fukushima

prolog

‘Tok, tok’. Joe mengetuk cermin kereta dari luar sebelum masuk duduk di sebelah. “Sorry, lambat sikit. Ayuh, aku belanja makan di restoran Malaysia Boleh.”


I

Saya pantas menghidupkan enjin kereta dan menyertai kesesakan di metropolis Osaka. ‘Malaysia Boleh’, fikiran saya bermonolog. Kedai makan yang diusahakan Kenny, lelaki cina dari Pulau Pinang. Dulu sewaktu lokasinya di Fukushima saya pernah membawa Miyuki berkunjung ke situ untuk memperkenalkan masakan melayu kepadanya. Kira-kira setahun yang lalu.

“Saya fikir awak sendiri yang akan masakkan untuk saya,” Miyuki.

“Hah?”

Just kidding,” kata Miyuki lagi sambil tersenyum. Suka betul dia menggunakan ungkapan itu sejak saya memberitahu maksudnya.

“Hari ini saya belanja,” kata saya.

“Eh, kenapa pula?” Miyuki.

“Hmm…, hari jadi awak?” saya meneka.

“Oh, bukan hari inilah. Bulan depan!”

“Jun?”

Angguk.

“Berapa haribulan?”

“Dua belas.”


II

“Sekejap lagi mungkin kota ini tidak sesibuk selalunya,” ujar Joe sebaik kami keluar daripada restoran.

“Kenapa?”

“Ramai yang akan berada di depan kaca tv. Lupa ke? Jepun lawan Australia.”

“Haha. Ya tak ya. Masuk akal juga tu,” kata saya lalu kami mempercepatkan langkah.

Kira-kira setengah jam kemudian di Kaiserslautern, Shunsuke Nakamura menjaringkan gol kontoversi untuk meletakkan pasukan biru putih Jepun di hadapan mendahului pasukan kuning hijau Australia.

Jepun tak mungkin menang, kata hati saya. Saya lebih menyebelahi yang kuning hijau.

Tiga gol untuk kuning hijau dalam tempoh tujuh minit terakhir. Joe ketawa besar. Esok pastinya ramai orang jepun di pejabat yang bermuram durja, katanya.


epilog

Saya tidak pernah menghubunginya semenjak kembali ke Osaka.

Dua belas Jun.

Saya mencapai telefon bimbit dan menaip pesanan ringkas kepada Miyuki: tomodachi, happy birthday!


Nota: Miyuki kini menetap bersama keluarganya di kota Yamaguchi dan sedang giat mengikuti pengajian intensif bahasa inggeris di bawah kursus anjuran AEON.

8.6.06

26 - Orang aneh

"Hari ini ada sekumpulan orang dari Malaysia datang," ujar Miyuki kepada saya sambil meniup-niup kopi panas starbuck di dalam cawan yang dipegangnya.

"Ya," saya mengangguk. Tentu sekali saya tahu apabila ada orang dari Malaysia yang datang ke kompeni kami.

"Kamu kenal mereka?"

"Oh, sudah tentu. Bukannya orang lain. Kawan-kawan saya juga," jawab saya.

"Saya suka melihat orang-orang dari Malaysia," ujar Miyuki.

"Maksud kamu?"

"Yasashii."

Saya menutup sebelah mata dengan tapak tangan. Miyuki memandang dengan wajah yang separa serius.

"..tidak seperti kebanyakan orang Jepun yang amat gila bekerja!" Miyuki.

"Maksud kamu kebanyakan orang Jepun macam orang gila?"

"Bukan. Macam orang aneh!"

5.6.06

25 - Kemuncak infiniti?

Hujung minggu selalunya amat mengujakan saya terutama jika ada perlawanan futsal dengan orang-orang Jepun. Walaupun perlawanan hanya akan berlangsung pada hari Jumaat sebelah malam atau awal pagi Sabtu, saya sudah mula merasakan impak hormon adrenalin seawal petang Selasa lagi.

Dan apabila tiba hari sebelum perlawanan berlangsung, saya akan cuba memastikan untuk mendapat tidur yang cukup dan makan dengan sempurna dalam tempoh tidak kurang dari lapan jam sebelum turun ke gelanggang.

Hanya minggu lalu saya terlupa. Saya langsung tidak menyentuh nasi pada hari Jumaat. Dan tidak tidur sehingga Subuh menjelma.

Pasukan kami bermain lima perlawanan. Kebetulannya setiap dari kami tidak menikmati rehat yang secukupnya. Kami tewas empat dari lima perlawanan tersebut!

Dan paling mengecewakan ialah kegagalan saya untuk menjaringkan sebarang gol. Saya terlepas peluang untuk berada di kemuncak infiniti.

Paul Gascoigne yang pernah digelar sebagai budak ajaib England pada kejohanan Piala Dunia 1990 di Itali pernah berkata tiada perasaan hebat yang dapat menandingi kepuasan menjaringkan gol di dalam permainan bolasepak. “Scoring goal is better than sex!

Lagenda bolasepak dunia dari Brazil, Edson Arantes do Nascimento atau lebih dikenali sebagai Pele pula mempunyai pandangan yang lebih rasional. Menurutnya perasaan ketika menjaringkan gol adalah setanding dengan kenikmatan ketika mencapai kemuncak di dalam hubungan seksual.

Dalam hal subjektif ini, penyataan bintang Brazil tersebut mungkin lebih mudah diterima ramai berbanding kata-kata Gascoigne apatah lagi bagi mereka yang langsung tidak pernah bermain sukan bolasepak.

Dan sekiranya hipotesis Pele diambilkira maka mereka yang sudah pun berumahtangga tidak perlu menghentakkan penumbuk ke meja makan atau menghempaskan kepala ke skrin komputer jikalau tidak pernah berpeluang menendang bola ke pintu gol hanya semata-mata kerana isteri tidak merestui untuk berbuat demikian.

Kecualilah jika kata-kata Gascoigne yang betul. Tetapi sudah tentu itu bukanlah alasan yang bijak untuk seseorang yang mahu mengelak dari menamatkan zaman bujangnya.

2.6.06

24 - Bintang-bintang berkerdipan

Beberapa orang kakitangan di tempat saya bekerja apabila pergi outstation ke negara Malaysia tidak kurang yang membeli keychain berimejkan menara berkembar KLCC sebagai cenderahati kepada rakan-rakan setugas di Jepun. Itu sudah dikira mahal. Harganya kalau di Pasar Budaya mungkin sekitar tiga atau empat ringgit.

Selalunya untuk lebih menjimatkan kos mereka sekadar membeli waffle snack atau coklat sebagai buah tangan. Dan ada juga yang membeli gula-gula durian. Anehnya. Sedangkan di kalangan orang Jepun rata-rata amat membenci bau durian. Kadang-kadang ada yang lebih sanggup menghidu bau tandas daripada bersemuka dengan durian.

Sebelum saya pulang bercuti di tanahair hujung April lalu, Kuroda berpesan kepada saya, “Jangan lupa bawakan ole-ole nanti. Tak mahu keychain. Sudah banyak sangat koleksi rantai kunci berimejkan menara berkembar KLCC yang ada dalam simpanan.”

“Ha ha. Kamu ni banyak songel sungguh. Nantilah saya belikan keychain yang tiada gambar KLCC, mahu?”

“Tidak. Saya tak mahu keychain. Kalau boleh kamu belikan saya gelang tangan yang disaluti manik-manik kayu,” ujarnya sambil menghembuskan asap rokok jenama seven stars. Saya cuba membayangkan ada bintang-bintang yang keluar dari asap itu. Nyata tiada.

Di tanahair, selepas menziarahi Mak Cik Noi di Tanjung Jara saya sempat singgah di Pasar Minggu Sura Gate. Ramai manusia berpusu-pusu di segenap bahagian. Lebih-lebih lagi ketika minggu gaji masuk di hujung bulan.

Di antara bahagian menjual makanan dan deretan tempat menjual kain baju, saya terpandang gerai tempat menjual gelang tangan yang disaluti manik kayu. Harganya pelbagai. Dari yang semahal tiga puluh ringgit kepada yang semurah seringgit.

Di sebelah gerai itu ada lelaki berusia lewat tiga puluhan sedang melakarkan tulisan dan corak di atas rantai kuci kayu. Cantik sekali.

Apabila saya kembali ke Jepun saya serahkan buah tangan berupa gelang tangan bersalut manik kayu kepada Kuroda. Dia nampak gembira. Walaupun saya pasti gelang itu tidak cantik. Bila-bila masa jika dikasari boleh putus. Cuma tiga ringgit.

Kemudian dia mungkin tidak gembira.

Harada, Saturo, Momosaki, Tetsuro dan yang lain-lain menerima keychain kayu berbentuk sandal yang tertulis nama masing-masing di atasnya. Cuma dua ringgit lima puluh sen. Tapi cantik.

“Arghh! Kenapa sebelum ini kamu tak beritahu di Malaysia ada keychain yang cantik seperti ini??!” ujar Kuroda sambil menghembus asap rokok seven stars. Saya tidak perlu lagi membayangkan ada bintang-bintang yang keluar dari asap itu.