37 - Warna budaya

Dia kuat bekerja. Dalam tempoh setahun di Oita, hanya tiga kali dia pulang menjenguk isterinya di Osaka. Dia pulang tidak lama. Paling lama cuma dua hari. Itupun apabila kebetulan ada urusan rasmi di ibu pejabat.
Lewat malam itu, sewaktu dalam perjalanan pulang dari bertugas, kami berbual. Dia bercerita tentang golf dan pachinko. Saya lebih banyak jadi pendengar, kerana saya tidak pernah menceburi kedua-dua bidang itu.
Kemudian saya bertanya tentang keluarganya.
“Bagaimana dengan isteri di Osaka sepanjang tempoh setahun ini?”
“Oh, dia baik-baik saja. Malah gembira. Setiap bulan saya kirimkan wang yang banyak kepadanya. Dan katanya dia berbahagia dan mengisi masa terluangnya dengan melancong dan berhibur,” jelas Encik Hakoto.
Encik Hakoto rajin bekerja. Ada kalanya saban hari tidak kurang dari enam belas jam dia menghabiskan waktu di tempat kerja. Kadang-kadang dia terus di situ sehari semalam.
Encik Hakoto kuat bekerja. Dan apabila ada waktu lapang dia sekadar tidur dan minum alkohol. Bila ada hari cuti dia singgah bermain golf atau berkunjung ke pusat permainan pachinko.