1.9.06

38 - Misalan

Bila sudah bergelar suami, status kebebasan ekonomi peribadi akan berubah. Itu istimewanya masyarakat jepun ini, kata Eto.

Saya tidak jelas pula di mana keistimewaan yang dimaksudkan itu. Suami bertungkus lumus bekerja. Dan bila tiba hari gaji, kesemua wang itu diberikan kepada isteri. Urusan perbelanjaan rumahtangga dikawal sepenuhnya oleh isteri.

Saya pernah perasan perihal Teguchi. Dulu sebelum berkahwin dia cukup mewah. Tiga buah kereta mampu dibelinya. Saban minggu tidak pernah keputusan wang untuk singgah di bar-bar sekitar kota, keluar minum dan berpesta.

Hari ini Teguchi sudah bergelar suami. Petang tadi dia meminjam sekeping not seribu yen dari teman di sebelah meja untuk membeli minuman dalam tin. Dulu dia pernah bercerita, elaun untuk perbelanjaan bulanan yang diterima dari isterinya hanya cukup untuk menampung harga makanan tengahari di kantin sahaja. Waktu malam harus makan di rumah. Dan Teguchi sudah tidak kerap membeli rokok seperti masa-masa yang lalu.

"Rahsia keluarga yang bahagia," kata Eto. "Sebagai lelaki tidak perlu pening kepala memikirkan perbelanjaan harian. Semuanya diuruskan isteri. Itulah gunanya isteri."

"Ooohh.., lalu kamu boleh terus menumpukan perhatian kepada kerja, begitu?"

"Tepat sekali!"

"Eh, ini contoh saja ya. Misalan.."

"Misalan apa?" tanya Eto.

"Misalannya, kalau kamu mati esok, isteri kamu bagaimana?"

"Ha ha.. soalan apa itu? Isteri saya? Hmm.. mungkin dia gembira.., ada banyak wang dan boleh melancong menghabiskan sisa-sisa tuanya... Ha ha.. cis..! Tidak baik sungguh soalan kamu ini..."

Di langit, bintang-bintang berkerdipan. Anak bulan kelmarin kian menyerlahkan bilah sabitnya. Di fikiran, saya mencongak tentang menu makan untuk malam ini.