13.8.11

56 - Lagi

Saya nak menulis. Lagi.

22.11.07

53- Lena

"Kamu akan tahu yang kamu sedang dilamun cinta apabila kamu tidak mahu lena," kata Joshua.

"Kenapa?"

"Mudah. Kerana akhirnya realiti itu lebih indah dari mimpi."

Saya memandang dengan mata yang terkebil-kebil sambil memeluk tubuh di sebalik jaket hitam yang sedikit menggigil. Sejuk.

Hmm.. saya tidak boleh lama.

Seharian ini cukup meletihkan. Saya mahu lena dulu.

Selamat tidur.

24.5.07

52 - Ohh.. Miyuki!

Dulu saya pernah mengajak Miyuki bermain futsal. Mulanya dia menolak. Katanya dia kaki bangku. Dia risau kalau bola tidak bergerak bila dia menendang.

Tapi suatu hari Miyuki turun bermain. Sepakannya memang tidak kuat, namun ada seni. Bola bergolek perlahan. Maksud saya, sungguh perlahan.

Dan kemudian dia berlari keluar lalu duduk di atas bangku di hadapan saya. Tanpa perlu meneliti, saya tahu wajahnya sedang kemerah-merahan. Kedua tangannya menopang dagu dengan siku di atas peha. Dia memandang saya tidak berkelip.

"Hei!" jeritnya. "Tentunya di dalam hati kamu sedang ketawakan saya kan?"

Kadang-kadang kita tidak mungkin perolehi sesuatu yang diinginkan. Lalu tidak selamanya juga kita terus di sini.

Oh, Miyuki. Untuk apa pula saya harus ketawa. Bukankah wanita itu sememangnya dan seharusnya bersifat lemah lembut?

23.4.07

51 - Tahun kedua

Saya bagai mendapat petanda akan ulangan peristiwa dua tahun sudah.

Merah-merah lepasi biru-biru.

Kemudian.

Merah-merah jumpa tentera Itali.

Tunggu dulu.

Esok dan lusa.

Lalu peperangan meletus lagi.

25.2.07

49 - Cokelat

Sejurus menerima duit baki untuk majalah bola yang dibeli, saya spontan meletakkan sekotak coklat beriben ungu ke tangannya.

"Wah..!" jerit gadis comel penjaga kaunter kedai buku Book 1st itu perlahan. Dia sedikit kaku sebelum menyambung, "Kamu sungguh pemurah. Tahun lalu kamu juga menghadiahkan saya sekotak cokelat."

Kuroda dan Harada berpandangan sesama sendiri. Ada riak terkejut pada air muka mereka.

Saya berwajah separa jitu. Tapi penuh keyakinan, rasanya.

Kuroda, Harada dan saya. Kami berjalan beriringan meninggalkan stesen Ishibashi.

Kuroda terus bersoal lagi, "..dan yang paling mengkagumkan dia masih mengingati pemberian kamu setahun yang lalu sekalipun kamu sudah lama tidak bertemu dengannya?"

"Ya, boleh jadi kamu cukup popular di sini ya?" Harada menduga.

Saya menguis telunjuk kiri ke lengan kanan. Termenung sejenak.

Dan lagi, Kuroda dan Harada berpandangan sesama sendiri.

22.11.06

47 - Tiada alasan

Dia bersuara. Dengan wajah yang tenang, tanpa menoleh ke arah saya. Katanya, esok setelah pulang ke Wakayama tentunya dia tidak akan sesekali melupakan keindahan warna musim luruh di sini.

“Bukankah di Wakayama juga ada musim luruh?”

“Benar. Tapi musim luruh tahun ini paling istimewa,” katanya.

‘Istimewa..!’ Saya mengangguk perlahan-lahan.

Di pinggir jalan dua kanak-kanak berlari-larian. Si adik tersungkur ketika cuba bersaing dengan langkahan pantas abangnya.

Lututnya sedikit luka, namun dia tidak menangis.

Dan saya tersenyum sendiri. Tanpa sebarang alasan.

31.10.06

45 - Satu syawal yang lalu

Saya pulang awal. Lebih awal dari kebiasaannya. Ketika suria penghujung Ramadan masih meniti di ufuk barat. Saya mahu menikmati malam yang bakal tiba. Malam yang istimewa.

Malam satu syawal.

Di luar tiada nyalaan pelita minyak tanah. Tiada bunyi dentuman mercun dan meriam buluh. Saya leka sendiri duduk di hadapan laptop sambil memuat turun koleksi lagu raya pilihan. Bukan sedikit. Ada enam belas kesemuanya. Ada lagu nyanyian M.Nasir, ada lagu nyanyian Sanisah Huri dan ada juga lagu nyanyian Aishah yang menjadi kegemaran Nina.

"Ini lagu nyanyian Aishah," ujar Nina.

"Ya, saya tahu. Tajuknya Dari Jauh Kupohon Maaf," balas saya.

"Eh, bukanlah. Lagu ini.., berjudul Pulanglah," terang Nina seperti nada percakapan seorang guru yang membetulkan kesilapan anak muridnya.

Saya berpaling sambil mengerenyitkan mata.

"Kenapa?" Soal Nina, bersahaja.

"Mana ada tajuk lagu Pulanglah."

"Pulanglah."

"Dari Jauh kupohon maaf."

"Pulanglah.."

"Dari jauh.."

"Pulang.."

"Dari ja..."

Nina senyum, sambil menggetap bibir.

"Awak memang selalu begini ya..," Nina.

"Kenapa?"

"Tak pernah berubah."

Dan senyuman manis Nina pun berlalu bersama angin malam. Saya memandu keseorangan ke hujung kota. Tidak banyak kenderaan di jalan raya. Sekumpulan remaja sekolah duduk berkumpul di ruang lapang di hadapan Family Mart. Dua daripada mereka memetik gitar sambil menyanyi manakala yang lainnya duduk menonton sambil bertepuk tangan.

Saya berhentikan kereta dan membuat beberapa panggilan telefon jarak jauh. Ia sudah menjadi rutin setiap kali tiba malam satu syawal, menghubungi saudara mara dan kenalan di tanahair, mengucapkan salam aidilfitri dan bertanya khabar.

Dingin subuh satu syawal menyapa damai. Tenang dan aman. Tidak seperti di tahun yang sudah apabila saya terpaksa mencari-cari butang baju melayu di pagi raya. Kali ini semuanya sudah tersedia. Butang yang sama telah siap tersemat pada baju melayu biru tua di hadapan almari pakaian.

Ia pemberian dari Nina tidak lama dulu. Saya masih ingat bagaimana teruk saya dimarahinya apabila saya terlupa untuk mengenakan butang baju melayu itu pada salah satu hari raya yang lalu.

Ia istimewa. Dan masih lagi, walaupun selepas perbualan menerusi telefon malam raya tadi.

"Hello, Assalamualaikum."

Saya pantas mengecam suara itu. Murni, adik kepada Nina.

"Waalaikum salam," balas saya. "Boleh cakap dengan kak Nina?"

"Kak Nina?"

"Ha ah."

"Kak Nina tak ada."

"Eh, tak ada? Tak balik beraya ke?"

"Dia beraya kat rumah mak mentua dia. Esok baru balik sini."

"Oh? Sejak bila ada mak mentua?"

"Hari tu. Masa cuti sekolah. Ini siapa ya?"

"Hmmm.. kawan kak Nina."

"Ohh.. Murni tau siapa ni.."

"Yalah tu. OK. Selamat Hari Raya. Kirim salam kat semua ya."

Saya rindukan sekurang-kurangnya dua perkara pada syawal tahun ini.

Pertama, takbir raya berirama dari Malaysia.

Kedua, iklan hari raya di kaca televisyen. Bukankah selalunya ia sungguh menarik?

Selamat hari raya dan maaf zahir batin.